M Update, 18/10/2019 – Bermula awal bulan depan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membekukan cuti kira-kira 10,500 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menghadapi banjir yang mungkin berlaku ketika perubahan angin monsun yang dijangka berakhir hujung Mac tahun depan.
Ia langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan dan menyasarkan kawasan utara dan pantai timur Semenanjung yang dijangka mengalami banjir ekstrem.
Persiapan itu membabitkan semua keperluan peralatan dan logistik supaya berada dalam keadaan baik, termasuk persediaan pasukan Unit Udara di tiga pangkalan iaitu di Subang (Selangor), Miri (Sarawak) dan Bertam (Pulau Pinang).
Keanggotaan JBPM bersiap-siaga 24 jam dari segi akses dan logistik penyelamatan, termasuk bot di setiap lokasi yang sudah dikenal pasti di seluruh negara.
Semua kelengkapan perlu diselenggara dan berada dalam keadaan baik, manakala balai yang tidak terbabit banjir akan diarah membantu kawasan serta negeri dilanda banjir membabitkan 296 balai bomba seluruh negara.
Kebiasaannya Monsun Timur Laut berlaku antara November hingga Mac dan kebiasaannya hujan bermula di Kelantan dan Terengganu pada November hingga Disember.
Secara purata, ketika monsun kedua-dua negeri menerima hujan antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan, berbanding hanya 200 hingga 300 mm.
Pihak JBPM akan terus menyelaras tindakan dengan agensi seperti METMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memberi maklumat berguna serta respon kecemasan yang membabitkan kenaikan paras air dan hujan berlebihan.”
JBPM juga mengadakan rondaan dan menyediakan pangkalan data bagi sesuatu kawasan dianggap lokasi panas, khususnya membabitkan golongan kurang upaya (OKU), warga emas dan masalah kesihatan bagi memudahkan tugas menyelamat sekiranya banjir.
Sumber : Berita Harian