M Update, 22/10/2019 – Pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menepati piawaian dan kualiti ditetapkan badan itu.
Bagaimanapun, JAKIM tidak dapat menghalang produk dengan tanda halal yang bukan diiktiraf badan itu masuk ke negara ini. Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pengguna perlu membuat pilihan untuk membeli produk yang diyakini halal.
“Kita tidak meletakkan syarat halal itu mestilah halal Malaysia. Ada produk yang masuk ke negara ini mungkin mendapat pengiktirafan halal dari negara lain. Terpulang bagaimana pengguna meyakini halal itu. Jika memilih halal Malaysia juga, ia disebabkan piawaian dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Sebuah akhbar melaporkan mengenai lambakan produk import berasaskan keju, tenusu, coklat, rempah ratus, minyak masak dan produk dalam tin yang diragui status halalnya, dikesan semakin serius. Tanpa pensijilan halal antarabangsa dikeluarkan badan luar atau jika ada pun ia tidak diiktiraf JAKIM, produk berkenaan dilihat bebas dipamer dan dijual di rak premis runcit, selain mendapat permintaan tinggi termasuk dalam kalangan umat Islam.
Ketika ini, sebanyak 79 badan pensijilan halal luar dari 45 negara diiktiraf JAKIM. Mujahid menjelaskan ada negara yang mempunyai beberapa pensijilan halal, berbanding Malaysia yang hanya dikeluarkan satu badan.
“Mungkin itu faktornya tapi kita tidak campur tangan dalam urusan berkenaan. Bagaimanapun, pengguna boleh menyemak dalam sistem MYeHALAL mengenai siapa yang disenaraikan menerusi status halal JAKIM atau sebaliknya,” katanya.
Sumber : BH Online