M Update, 23/10/2019 – Tiga individu termasuk bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung penerbitan komik yang didakwa berunsur propaganda hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Kuan Yau dan dua lagi individu akan hadir memberi keterangan petang ini.
“Dua individu yang dipanggil itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penerbitan komik tersebut,” katanya.
Dalam kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal bahagian keselamatan kementerian mendapati kandungan komik itu mempunyai perkara tidak benar.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam hantaran menerusi laman Facebooknya mempersoalkan komik itu yang didakwa satu propaganda yang memburukkan negara. Najib turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu. – SH Online