M Update, 5/11/2019 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah melantik perunding bagi mewakili jabatan itu untuk menguruskan permohonan sijil halal Jakim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Justeru itu, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan rasuah dalam permohonan sijil halal Jakim dilakukan oleh pihak yang menyamar sebagai perunding.
“Ada banyak kes orang datang kepada saya kata mereka dah minta (sijil) setahun tetapi masih belum dapat. Saya tanya kepada siapa dia minta, dia kata minta dengan orang Jakim.
“Bila kita periksa, orang itu perunding yang hanya mahu keuntungan dan dia tidak ikut prosedur yang betul,” katanya.
Mujahid berkata permohonan sijil halal tidak dilakukan secara bersemuka, sebaliknya borang dilengkapkan secara dalam talian dengan mengemukakan butiran yang dikehendaki. Kemudian kami akan proses dan kalau ada masalah baru panggil pemohon,” katanya.
Bagaimanapun, Mujahid berkata Jakim akan mengambil tindakan tegas jika terbukti terdapat pegawainya sendiri yang menerima rasuah bagi meluluskan permohonan tersebut. – Bernama