M Update, 20/11/2019 – Taktik seorang wanita warga Thailand mengaku rakyat Malaysia ketika cuba mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang gagal apabila dia tidak tahu menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.
Dalam operasi di Plaza Tol Juru Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara, di sini, wanita berusia 21 tahun itu pada mulanya memberikan pelbagai alasan apabila diminta menunjukkan kad pengenalannya, termasuk memberitahu ia disimpan oleh ibunya. Dia juga gagal untuk mengingati nombor kad pengenalannya.
Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Mohamad Husni Mahmud, berkata ketika disoal, wanita itu menegaskan bahawa dia warga negara Malaysia, bersekolah dan menetap di Alma, di sini, walaupun gagal menunjukkan sebarang dokumen untuk menyokong dakwaannya.
Beliau berkata, apabila diminta menyanyikan lagu Negaraku wanita itu gagal berbuat demikian, dan mendakwa keluarganya akan datang membawa kad pengenalannya tetapi setelah hampir sejam menunggu keluarganya tidak muncul.
“Akhirnya wanita itu mengaku dia warga negara Thailand dan mengeluarkan surat beranak Thailand yang menunjukkan bahawa dia lahir di negara itu, ibunya juga warga negara itu, cuma ayahnya warga Malaysia,” katanya.
Mohamad Husni berkata, wanita itu pada mulanya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama teman lelakinya warga tempatan berusia 20 tahun kerana nombor pendaftaran kereta Honda yang mereka dinaiki tidak mematuhi spesifikasi.
Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan lima lelaki terdiri daripada tiga warga Myanmar, dan dua India serta seorang wanita Indonesia berusia antara 25 dan 40 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri. Kesemua mereka dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut. – Bernama