Input your search keywords and press Enter.

Kes Adib : Polis Guna Ujian Poligraf Terhadap Saksi Utama

M Update, 21/11/2019 – Polis akan menggunakan mesin poligraf terhadap tujuh saksi utama yang akan tampil bagi membantu siasatan kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya mengenal pasti tujuh saksi utama yang dipercayai berada di lokasi ketika kejadian.

“Berdasarkan rakaman video diperoleh ketika kejadian, kami mengenal tujuh saksi utama yang dipercayai berada di lokasi. Pada masa sama, kami akan mengenal pasti individu tertentu daripada tujuh saksi utama berkenaan untuk menjalani ujian poligraf nanti.

“Kami akan mendapat bantuan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggunakan mesin berkenaan bagi memastikan sama ada individu terbabit memberi keterangan secara telus atau sebaliknya,” katanya.

Huzir berkata, seramai 30 saksi sudah memberi memberi keterangan ketika inkues berkenaan.

“28 daripada saksi itu pernah dirakam percakapan sebelum ini, manakala dua doktor pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur sudah tampil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan, hari ini.

“Kami juga akan merakam percakapan Pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ir Dr Amir Radzi Ab Ghani dan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan. – HM Online

Leave a Reply