M Update, 18/12/2019 – Seorang bayi lelaki dilaporkan maut selepas terjatuh ke lantai ketika kelahirannya akibat gagal disambut bidan dalam kejadian di sebuah klinik di Argentina.
Daily Mail melaporkan, kejadian menyayat hati itu berlaku pada Khamis lalu di klinik Sanatorio Pronto, Gualeguaychu yang terletak kira-kira 241 kilometer di utara Buenos Aires.
Kejadian itu turut dilihat bapanya, Claudio Mondragon, 29, yang menemani isteri, Stefania, 26, ketika melahirkan bayi mereka, Valentino.
Mangsa yang cedera teruk di kepala kemudiannya dikejarkan ke hospital pakar berhampiran namun tidak sempat dirawat apabila disahkan meninggal dunia.
“Ketika saat ingin bersalin, mereka meminta isteri saya meneran bayi namun anak tidak sempat disambut bidan lalu jatuh ke lantai.
“Doktor sakit puan tidak memberikan sebarang reaksi. Mereka kemudiannya mengambil anak saya dari lantai, meletakkan dalam inkubator dan menghantarnya ke hospital lain,” kata Claudio.
Bayi itu meninggal dunia ketika dihantar ke unit pakar di Hospital San Roque di Parana.
Satu siasatan dilakukan oleh pendakwa raya untuk menentukan sama ada kematiannya akibat kecuaian hospital dan seseorang perlu didakwa atas kesalahan jenayah.