M Update, 21/1/2020 – Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 sebanyak RM300 mula dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar mulai semalam sehingga Rabu (22 Jan), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Pembayaran itu memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima dan melibatkan penyaluran dana lebih RM1 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi memastikan program BSH 2020 diterima oleh semua yang layak, Lim berkata tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Feb depan hingga 15 Mac. Beliau berkata penerima yang menerima bayaran fasa pertama BSH 2020 tidak perlu membuat permohonan kecuali terdapat perubahan maklumat untuk dikemas kini.
“Proses permohonan dan pengemaskinian ini ditumpukan kepada mereka yang layak berdasarkan syarat BSH 2020 tetapi tidak diluluskan untuk BSH 2019. Ini termasuk kategori baharu BSH 2020, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 untuk golongan bujang yang berumur 40 tahun dan ke atas,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada bsh@treasury.gov.my, untuk sebarang pertanyaan lanjut. – BERNAMA