M Update, 5/2/2020 – “Walaupun demam sejak tiga hari lalu, arwah sanggup menemani anak bongsunya menghadiri temuduga kerja hari ini.
“Tak sangka pula ajalnya sampai ketika sedang menunggu anak perempuannya selesai temuduga,” kata Mohd Ali Ahmad, 55, sepupu kepada Mustafa Ariffin, 60-an yang ditemui meninggal dunia dalam kereta Proton Wira di tempat parkir hadapan Wisma Persekutuan di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan oleh orang awam yang ternampak mangsa dalam keadaan mencurigakan. Difahamkan, mangsa meninggal dunia seorang diri dalam kereta manakala isterinya pergi menemani anak mereka menghadiri temuduga di tingkat atas bangunan kerajaan itu.
Menurut Mohd Ali, sepupunya tidak pernah mengadu sakit sebelum ini malah dia sentiasa kelihatan sihat. Katanya, dia terkejut apabila dihubungi anak mangsa yang memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia.
“Saya terus bergegas ke sini dan mendapati jenazah mangsa masih dalam kereta. Mereka menetap di Kampung Teloi, Kuala Ketil dekat Baling, bertolak ke sini sejak pagi tadi dan kereta berkenaan dipandu anak mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Ali berkata, hubungan dia dan sepupunya sangat rapat namun kali terakhir, mereka bertemu pada Disember lalu ketika majlis perkahwinan anaknya. Katanya, ketika itu arwah banyak bergurau ketika berbual dan kelihatan ceria.
“Mungkin ajalnya dah sampai, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BH Online