Input your search keywords and press Enter.

Pakistan Sedia Import Lebih Banyak Minyak Sawit

M Update, 5/2/2020 – Pakistan melahirkan minatnya untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu disampaikan kepadanya ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan yang dalam rangka lawatan rasminya ke negara ini di sini, semalam.

“Kami berbincang mengenai jualan minyak sawit dan Pakistan sudah cukup bersedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Imran Khan selepas pertemuan itu.

Imran Khan yang bersetuju dengan Dr Mahathir berkata, Pakistan menyedari bahawa India ada mengancam untuk menyekat import minyak sawit dari Malaysia kerana menyokong Kashmir.

“Pakistan akan melakukan yang terbaik untuk mengimbanginya,” katanya.

Dilaporkan pada bulan lalu bahawa India mengehadkan import minyak sawit ditapis dan meminta pengimport agar mengelak membeli dari Malaysia selepas kritikan terhadap tindakan India di Kashmir dan undang-undang kewarganegaraan baharu negara itu.

Mengenai perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, Malaysia berharap pelaburannya di Pakistan akan meneroka perniagaan kejuruteraan lain selepas pengeluar kereta nasional Proton melabur dalam kilang pemasangan pembuatan di negara berkenaan.

“Kami dapati bahawa Pakistan memiliki jumlah penduduk yang ramai sebanyak 200 juta orang dan sudah tentunya banyak keperluan mereka boleh dihasilkan dalam Pakistan itu sendiri secara usaha sama dengan Malaysia,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Dr Mahathir dan Imran Khan menyaksikan majlis pecah tanah simbolik pembinaan kilang pemasangan pembuatan Proton di negara itu. Kilang itu yang terletak berdekatan Karachi di Wilayah Sindh akan menjadi kilang pertama Proton di rantau Asia Selatan.

Menurut Imran Khan, Pakistan terletak di lokasi strategik dan mempunyai akses ke pasaran China menerusi Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).

“Kami membangunkan zon ekonomi khas untuk menarik pelaburan, yang boleh mengeksport produk ke China,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply