M Update, 6/2/2020 – Seorang penjual santan didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan coronavirus di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (GATE) Original itu dibuat di sebuah rumah di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini, jam 8.22 pagi, pada 27 Januari lalu menggunakan akaun Facebook Ali Dapicey.
Tertuduh, Marzuki Abdullah, 40, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nordiana Abd Aziz. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Nor Nabiha Hanin Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Hafizuddin Abdul Haris.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membuat kenyataan mendakwa lima orang yang baru pulang dari Wuhan, China, dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu akibat dijangkiti coronavirus.
Kenyataan dengan niat dan sengaja menakutkan orang awam bersabit perkara itu dinafikan Kementerian Kesihatan Malaysia dan didakwa sebagai berita palsu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Nordiana membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamin sebelum menetapkan 3 Mac depan bagi sebutan semula kes itu. Tertuduh ditahan polis untuk siasatan kes berkenaan pada 2 Februari lalu.