M Update, 19/3/2020 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya juga membeku semua urusan kaunter dan perkhidmatan atas talian bagi permohonan baru, pembaharuan lesen pengendalian pelancongan, pemandu pelancong, institut latihan pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki (PUK) sehingga 31 Mac ini.
“Oleh itu, saya ingin memaklumkan bahawa kempen VM2020 dibatalkan berkuat kuasa serta-merta sejajar dengan impak penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia secara amnya.
“Sejajar dengan kenyataan media oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri hari ini berhubung pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan, kesemua premis penginapan pelancong dibenarkan untuk beroperasi secara minimum.
“Namun, kesemua tetamu premis penginapan pelancong perlu berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh kuarantin berkenaan dan tempahan sajian dibuat secara perkhidmatan ke bilik,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Nancy berkata, proses pendaftaran tetamu ke premis penginapan pelancong sepanjang tempoh perintah berkenaan adalah dibenarkan, tetapi dalam skala yang kecil dan terhad.
“Bagi tetamu premis penginapan pelancong yang terpaksa memanjangkan tempoh penginapan sepanjang perintah ini berkuat kuasa, mereka boleh mendaftar masuk ke premis yang bersesuaian dengan bajet masing-masing.
“Bagaimanapun, pelancong domestik baharu yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Katanya, orang ramai diseru supaya mematuhi penjarakan sosial sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih. – HM Online