M Update, 9/4/2020 – Pembukaan bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pada tahun ini dibatalkan, susulan pandemik coronavirus (COVID-19).
Mengesahkan perkara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerajaan sebaliknya akan memperkenalkan tiga konsep baharu bagi memastikan golongan peniaga kecil yang menjadikan bazar seumpama itu sebagai punca pendapatan tidak akan terbeban.
Beliau berkata, tiga konsep itu ialah pandu lalu, tempah dan ambil (packed and picked) dan penghantaran makanan menggunakan kaedah e-hailing diputuskan selepas mengambil kira keperluan orang ramai, khususnya dari aspek penyediaan juadah untuk berbuka puasa jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.
“Kementerian dengan ini memutuskan untuk mengembalikan yuran milik 2,673 peniaga yang sudah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam bazar Ramadan tahun ini. Mereka boleh mendaftar meneruskan jualan masing-masing menggunakan tiga konsep baharu ini yang perinciannya akan kita berikan bagi memastikan berjalan lancar,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat kementerian semalam.
Annuar berkata, kaedah pandu lalu akan diadakan hanya di beberapa lokasi khas memiliki kriteria diperlukan, antaranya jalan yang lebar dan pergerakan aliran lalu lintas tidak terganggu.
“Setakat ini kita sudah mengenal pasti kawasan stadium di Bukit Jalil untuk Kuala Lumpur dan sepanjang Presint 2 di Putrajaya. Pertimbangan akan diberikan jika ada kawasan lain dilihat sesuai serta memenuhi ciri yang kita mahu,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan bazar di bawah kaedah pandu lalu akan memberi penekanan pada kedudukan gerai peserta, bagi memastikan ia selari dengan penjarakan sosial, manakala tempahan makanan perlu dibuat lebih awal.
“Penjual akan bungkus makanan ditempah dan pelanggan akan datang ambil. Kita akan perhalusi lagi cara ini bagi memastikan ia diadakan dengan cara selamat dan tidak berlaku kesesakan,” katanya.
Annuar menarik perhatian, pelaksanaan mengikut kaedah ‘packed and picked’ pula akan membabitkan lokasi pengambilan tertentu yang akan memudahkan pergerakan peniaga dan pembeli, manakala konsep penghantaran menggunakan perkhidmatan e hailing pula akan dibuat dengan mengambil kira pemberian beberapa insentif tertentu.
“E-hailing ini akan kita lakukan dengan menimbangkan insentif tertentu bagi mengurangkan tanggungan bayaran yang perlu dilunaskan peniaga. Sebaik sahaja pendaftaran dibuka sepanjang 13 hingga 19 April nanti, peniaga boleh memilih konsep yang mereka inginkan, sama ada pandu lalu, packed and picked atau e-hailing serta menyatakan lokasi masing-masing.
“Kementerian amat berharap peniaga dapat memberikan kerjasama penuh dalam memastikan pelaksanaan bazar menerusi kaedah ini berjalan lancar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, kerajaan turut memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran majlis berbuka puasa bagi mengelakkan sebarang perhimpunan pada skala besar.
“Kami akan perkenalkan cara baharu juga, dikenali sebagai e-iftar, dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan, iaitu penganjur boleh menyatakan jumlah peserta dan memilih menu, makanan akan dibungkus serta dihantar kepada penerima,” katanya.
Sumber : BH Online