M Update, 20/4/2020 – Orang ramai tidak digalakkan menjalankan ujian sendiri bagi mengesan COVID-19 menggunakan kit ujian sedia ada.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penggunaan kit ujian pantas atau rapid test kit memerlukan kepakaran dan latihan untuk digunakan.
“Jika kita menggunakan rapid test kit iaitu penggunaan antigen, kita menggunakan teknik swab dan mungkin sukar untuk kita swab sendiri. Kalau kita mengambil sendiri sampel dengan tidak tepat, keputusannya juga akan tidak tepat,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas mengenai penggunaan kit ujian antibodi pula, Dr Noor Hisham berkata, penggunaannya memang mudah kerana hanya memerlukan titisan darah.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kit ujian terbabit bukan untuk mengesan kehadiran COVID-19 sebaliknya untuk mengesan antibodi terhadap virus berkenaan. – BH Online