M Update, 24/4/2020 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka bertitah agar umat Islam mengambil peluang di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan ibadah dan amalan.
“Umat Islam negara ini diseru mengimarahkan seluruh bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan amal soleh yang digandakan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar umat Islam memperkukuh ukhuwah sesama insan dan bersatu hati serta mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling.
“Semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan bersyukur di atas ujian serta rahmat dan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” menurutnya dalam kenyataan Istana Negara malam ini.
Ahmad Fadil berkata, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga, Seri Paduka berdua dan Istana Negara dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan supaya tidak menghadiri serta menganjurkan sebarang bentuk majlis sepanjang Ramadan demi keselamatan rakyat. Justeru itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar umat Islam, khususnya petugas di barisan hadapan terus tabah menjalani ibadah berpuasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.
Seri Paduka menasihati umat Islam supaya mengharungi ujian ini dengan sabar dan memainkan peranan membantu pihak berkuasa dengan mematuhi PKP dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan kesejahteraan komuniti.
“Umat Islam diseru mengambil peluang sempena Ramadan untuk bersama-sama keluarga tersayang di rumah masing-masing. Langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang berusia dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit COVID-19 ini.
“Semoga trend pengurangan kes-kes positif baharu dan penambahan kes-kes pulih berterusan supaya lengkungan kes positif COVID-19 dapat diratakan dengan pantas,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar umat Islam dapat bersama-sama mengambil keberkatan Ramadan ini untuk berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta wabak COVID-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera. – BERNAMA