M Update, 17/8/2020 – Kerajaan bersetuju mengisytiharkan pulau peranginan ini sebagai hab coklat negara, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai ‘Raja Coklat’ di rantau Asia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata langkah itu juga diharap dapat mempertingkat pembangunan sektor hiliran koko negara serta menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi.
“Langkawi menerima masuk sejumlah besar pelancong dari seluruh dunia dan ia sesuai untuk menjadi pemangkin kepada promosi produk coklat buatan tempatan.
“Konsepnya adalah kita menyediakan rangkaian niaga setempat yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pembuatan dan penjualan coklat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan dan Pelancaran Hab Coklat Langkawi semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Pengajian Tinggi negeri, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee.
Mohd Khairuddin berkata, sebagai nilai tambah kepada hab itu, sebuah Muzium Coklat akan dibangunkan syarikat swasta dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Projek itu masih dalam proses perbincangan dengan tapaknya telah dikenal pasti di kawasan berhampiran produk pelancongan popular SkyCab. Muzium ini akan mempamerkan sejarah pembuatan coklat dan produk asas koko yang berjaya dihasilkan negara ini,” katanya. – BH Online