M Update, 12/11/2020 – Tiada keperluan untuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turun padang memandangkan saluran komunikasi dengan petugas di lapangan sentiasa berjalan dengan baik dan melalui prosedur yang jelas.
Walaupun Dr Noor Hisham tidak selalu turun padang, beliau tetap bertanggungjawab memastikan perancangan dan keputusan yang dibuat di Putrajaya sampai ke peringkat negeri dan hospital dengan pantas.
Diharapkan kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi terutama membabitkan pemimpin politik kerana ia dibimbangi menjadi ikutan masyarakat. Ia harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan kebebasan bersuara untuk membuat kritikan yang tidak wajar.
Ketua Pengarah Kesihatan adalah jawatan profesional perubatan dan bertindak atas data profesional tanpa memasukkan unsur politik. Di peringkat negeri pula, pengarah kesihatan sentiasa berhubung dengan Ketua Pengarah bagi menyalurkan maklumat terkini atau arahan terbaharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) adalah agensi utama dan paling penting dalam mengurus isu berkaitan COVID-19 manakala agensi lain berperanan sebagai pelengkap yang akan melaksanakan polisi kesihatan dan keselamatan di setiap negeri. – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat
Beliau turut mengingatkan, kakitangan kerajaan adalah tertakluk kepada peraturan am perkhidmatan awam dan pelaksanaan sesuatu dasar atau arahan dilakukan dengan sangat teliti. Sebagai kakitangan awam, setiap petugas diberi latihan mencukupi untuk berhadapan apa jua keadaan serta memiliki tahap profesionalisme yang tinggi.
Kakitangan kerajaan juga sentiasa mematuhi arahan kerajaan walau parti mana memerintah kerana keutamaan kakitangan awam adalah melaksanakan tugas demi kebaikan rakyat dan negara.
“Jangan menghina dan memperkecilkan peranan penjawat awam, terutama ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya.
Adnan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai Dr Noor Hisham adalah tidak wajar kerana tidak menyelidiki terlebih dahulu maklumat sebelum memberi komen yang keras kepada penjawat awam. Beliau perlu menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat peribadi dan bukannya menyerang secara terbuka di dalam Dewan Rakyat,’.
Justeru, Adnan berkata, King Sing perlu memohon maaf sebagai menghormati peranan petugas barisan hadapan dan Dr Noor Hisham yang sedang berusaha menyekat penularan COVID-19.