M Update, 19/11/2020 – Kehidupan rakyat tidak terjejas, tiada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera susulan pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Perdana Menteri berkata pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa di Sabah.
Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan pada kadar segera, katanya dalam perutusan khas mengenai pengisytiharan darurat, yang disiarkan oleh televisyen tempatan dan rangkaian media sosial.
Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi. Katanya kerajaan mengambil kira lima faktor utama sebab PRK Batu Sapi perlu dielakkan.
Pertama atas faktor ancaman terhadap kesihatan awam, kedua kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas pilihan raya, ketiga pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan.
Keempat kebimbangan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi terutamanya warga emas serta kelima kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas PRK itu.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas. SPR menetapkan penamaan calon pada 23 Nov manakala pengundian awal pada 1 Dis dan pengundian pada 5 Dis.
Muhyiddin berkata pengalaman Pilihan Raya Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika COVID-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak tersebut manakala SPR pula sukar mendapat petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan kemungkinan terkena jangkitan virus itu.
Sekiranya PRK itu diadakan, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan pandemik itu ke daerah-daerah lain di Sabah, katanya.
Ini tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para ‘frontliners’ kita, yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini. Perdana menteri berkata berdasarkan faktor-faktor tersebut, kabinet berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik COVID-19 berakhir.
Beliau berkata Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan dengan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Sumber: Bernama