7 Disember 2020, menyaksikan kerajaan menamatkan PKP-B setelah lebih dua bulan dilaksanakan di beberapa negeri, yang menyaksikan natijah penularan gelombang ke-3 COVID-19 melanda Malaysia. Bermula dengan kesan langsung akibat pilihanraya di sebuah negeri, bertambah dengan mendadak kes-kes positif akibat kawalan kendiri dan kawalan komuniti yang tidak memenuhi hasrat banyak pihak dalam memutuskan rantaian penularan. Tanpa menunggu masa panjang, pihak berwajib mengambil langah tegas apabila corak penularan mula menunjukkan penyebaran dalam masyarakat sukar dibendung. Dan berulanglah episod penutupan separa pelbagai institusi seperti sekolah, pejabat kerajaan, premis swasta serta gedung-gedung perniagaan. Hilanglah lagi punca pendapatan ramai orang. Terhenti lah pelbagai aktiviti sosial yang baru ingin bernafas kembali. Sekatan pergerakan kali kedua secara besar besaran hampir di seluruh negara ini menyebabkan begitu banyak impak terhadap kemakmuran dan kesejahteraan hidup. Kita semua sedar bahara PKP-B yang dikenakan wajar demi memelihara nyawa dan kesihatan jelata. Namun disebalik itu, kehidupan mesti diteruskan, baik untuk diri atau insan di rumah yang sedang menanti.
Namun sekali lagi berlaku peningkatan lebih mendadak pada penghujung Oktober 2020. Penularan ini berterusan dengan kes-kes berpunca dari tempat kerja baik di kalangan pekerja kolar biru mahupun dikalangan pekerja kolar putih. Kali ini bilangan positif harian hampir konsisten setiap hari melebihi satu ribu. Setiap pihak makin lelah dengan perkembangan ini. Baik di lorong-lorong kediaman rakyat, mahupun di asrama pekerja asing, mahupun di tapak-tapak binaan, risiko jangkitan ini realitinya boleh berlaku. Jelas, wabak ini tidak mengira status mahupun memilih kewarganegaraan.
Maka bersambunglah PKP-B yang menyebabkan tekanan kepada rakyat yang telah penat, letih dan habis idea untuk berbuat apa. Jentera kerajaan juga telah kepenatan setelah berbulan-bulan perjuangan ini belum selesai. Hakikatnya walaupun pelbagai bentuk SOP diperkenal, pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksana, masih berlaku keadaan alpa dan leka. Alpa dan leka ini turut datang dengan pakej tindak-tanduk beberapa kelompok yang sepatutnya memberi contoh, tetapi memilih untuk memberi alasan serta hujah bahawa mereka tidak berbuat apa-apa kesalahan berkaitan pelanggaran peraturan. Padahal perkara ini sampai kerbau pulang petang pun masih boleh diperdebatkan.
Maka, persekitaran hidup rakyat Malaysia telah berminggu-minggu ini semakin tertekan dan tidak membawa sebarang keceriaan. Kehidupan kekeluargaan terjejas, pendapatan merundum, pergerakan terhalang dan sakit hati terhadap golongan dianggap kebal dari tindakan tidak membantu semangat rakyat untuk pulih dari pesekitaran kesan langsung wabak COVID-19. Mata hero negara yang tanpa lelah berjuang untuk rakyat semakin kuyu dan layu. Kelesuan dari perjuangan ini jelas terpapar di pelbagai pihak yang jujur, ikhlas dan tidak pernah jemu melaksana tugas baik di barisan hadapan mahupun di kelompok sokongan di belakang. Ternyata kita semua rindukan suasana yang gembira, suasana bersemangat serta persekitaran positif hasil kesejahteraan dan kemakmuran negara. Namun jelas, kerinduan ini belum terubat. Kerinduan ini malah makin kuat kerana hampir setahun berhadapan dengan ancaman ini, jalan penyelesaian masih belum jelas sepenuhnya.
Justeru, apabila pada 5 Disember 2020 diumumkan boleh berlaku pergerakan rentas sempadan dan rentas negeri oleh Kerajaan, maka sudah semestinya pelbagai aktiviti boleh dilaksana baik untuk menjana ekonomi mahupun memberi kegembiraan dalam hubungan kekeluargaan, aktiviti keagamaan serta membuka sedikit ruang untuk marhaen menikmati keindahan tanah air melalui pelancongan domestik yang boleh kembali bernafas. Hargai lah kebebasan ini. Kebebasan yang kita semua rindukan. Jagalah diri, jagalah komuniti, jagalah negara. Apabila ibu bapa di desa menjenguk ke luar jendela melihat anak dan cucu telah sampai di halaman, sudah pasti kerinduan yang berbulan ini terubat. Bertanggungjawablah kita memelihara keseronokan yang sedikit ini. Agar tidak perlu lagi kita berhadapan tindakan sekatan pergerakan yang akan hanya menyebabkan kerinduan yang pedih itu kembali berulang.
**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.