M Update, 11/12/2020 – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik meningkat semasa cuti hujung minggu yang panjang di Selangor dan menyarankan kepada pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan lebih awal.
Jangkaan peningkatan aliran trafik itu adalah sempena cuti umum sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor ke-73 hari ini, yang menjadi jendela perjalanan pertama bagi penduduk di Selangor susulan kebenaran melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri sejak Isnin lalu.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya sedang melakukan persiapan dan mengambil langkah untuk memastikan keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna termasuk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Justeru, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya itu supaya memastikan kepatuhan terhadap semua prosedur kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan mereka dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mempraktikkan kebersihan diri yang baik.
“Untuk meningkatkan pematuhan penjarakan fizikal, kami mengesyorkan pengguna membuat pesanan makanan dan minuman di kawasan R&R terlebih dahulu menggunakan aplikasi mudah alih PLUS,” katanya.
Di samping itu, beliau juga mengingatkan pengguna untuk memastikan kad Touch ‘N Go dan e-Wallet mereka ditambah nilai secukupnya untuk meminimumkan gangguan serta keperluan untuk interaksi secara fizikal.