M Update, 12/01/2021 – Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah sepanjang tempoh itu kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa termasuk dalam membendung penularan pandemik COVID-19.
Perdana Menteri berkata perintah berkurung tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat dan jentera pentadbiran serta perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.
“Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan awam akan terus berfungsi. Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan,“ katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.
“Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.
“Ordinan Darurat diisytiharkan bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID19.
“Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.
“Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19,” katanya.
Muhyiddin berkata, sehubungan itu, kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban ditanggung terutamanya hospital awam.
Tegasnya, menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.
Perdana Menteri berkata suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan akta ini dalam membendung penularan COVID-19.
“Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19,” katanya.
Muhyiddin berkata untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan menerusi kuasa ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan proklamasi lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.