Input your search keywords and press Enter.

Adik Tunggu Ummi & Abah Di Syurga Ya…

M Update, 03/02/2021 – “Adik tunggu Ummi dan abah di syurga ya.. pimpin kami, masuk sama-sama dalam syurga nanti,” kata Norlida Abu Hassan, ibu angkat kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, Jumaat lalu.

Kata-kata itu diluahkan wanita berusia 50 tahun itu sewaktu menziarahi kubur kanak-kanak digelar Adik itu di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, di sini, pada 2 petang semalam sebelum pulang ke Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Norlida yang dipanggil Ummi itu berkata, kehadirannya bersama ‘abah’, Md Tarmidi Yaaccob ke pusara Adik sudah pasti bukan yang terakhir, sebaliknya mereka akan datang semula apabila sampai waktunya kelak.

“Tunggu ummi datang lagi. Tak lama ummi tinggalkan adik di sini, nanti ummi pasti datang lagi. ‘Tidur’ baik-baik, tenang-tenang ya,” katanya sebak.

Ketika ditemui selepas itu, Ummi berkata, ‘anak bongsunya’ yang berusia tujuh tahun itu hadir dalam mimpi anak perempuannya, Tuffah Naziha malam tadi dengan keadaan bersih dan bersinar sambil mengenakan jubah putih.

“Kita tahu dia (Adik) tu anak syurga, jadi dia datang semula dalam mimpi kakak dia dan mengatakan dia rindu Ummi. Saya yakin dia memang rindukan saya, maklumlah tiga bulan (sebelum meninggal dunia) dia tak dapat jumpa saya lama-lama, saya nak telefon atau panggilan video pun tak boleh.

“Apapun, saya kena reda dengan keadaan ini walaupun setiap masa akan teringatkan arwah. Dia anak baik dan mana mungkin saya akan melupakannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ummi berkata, keluarganya akan mengadakan bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah di kediamannya di Bukit Sentosa dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, jenazah Adik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, pada 12.40 tengah hari.

Kanak-kanak terbabit ditemui meninggal dunia di kediamannya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, di dalam sebuah tong air berketinggian 60.9 sentimeter pada 4 petang, Jumaat lalu.

Hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Hasil bedah siasat mendapati, terdapat banyak kesan lebam serta beberapa kecederaan lama dan baru di badan kanak-kanak terbabit, selain terdapat kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala yang dipercayai baru berlaku ke atas mangsa.

Bagaimanapun, polis belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa sama ada disebabkan didera atau lemas dan beberapa spesimen seperti jantung, hati dan paru-paru mangsa dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.