M Update, 23/2/2021 – Agensi angkasa Amerika Syarikat (AS), NASA, mengeluarkan audio pertama dari Marikh iaitu rakaman desiran angin secara samar yang dirakam oleh alat kawalan jauh Perseverance.
NASA juga mengeluarkan video pertama pendaratan alat kawalan jauh itu di Red Planet dan pendaratan di Kawah Jezero Marikh. Bagaimanapun, kata Jurutera utama NASA, Dave Gruel, yang memainkan rakaman pendek itu, mikrofon tidak berfungsi semasa turun ke permukaan tetapi ia dapat menangkap audio selepas mendarat di Marikh.
“Apa yang anda dengar ialah rakaman 10 saat bunyi hembusan angin di permukaan Marikh yang dirakam oleh mikrofon dan dikirim kembali kepada kami di bumi,” katanya.
Klip video definisi tinggi selama tiga minit 25 saat itu menunjukkan pelindung haba yang melindungi alat itu jatuh dan penggunaan payung terjun merah putih yang besar. Pentadbir Bersekutu NASA, Thomas Zurbuchen, berkata video Perseverance adalah rakaman paling dekat pendaratan di Marikh tanpa mengenakan sut tekanan.
Pengarah Makmal Pemacuan Jet NASA, Michael Watkins, berkata ini adalah kali pertama mereka dapat merakam peristiwa seperti pendaratan di Marikh.
“Video yang sangat menakjubkan, kami mengawasinya sepanjang minggu,” katanya.
Pengurus misi permukaan Perseverance, Jessica Samuels, berkata alat kawalan itu beroperasi seperti yang diharapkan setakat ini.
“Saya dengan senang hati melaporkan bahawa Perseverance berfungsi dengan baik dan terus melakukan penyelidikan seperti yang kami rancang. Pasukan kami sedang menyediakan penerbangan dengan helikopter kecil kawalan jauh tetapi masih menilai dan belum menentukan kawasan terbabit,” katanya.
Perseverance dilancarkan pada 30 Julai 2020 dan mendarat di permukaan Marikh pada Khamis lalu. – BH Online