Lagu Udin Sedunia:
Di Saudi Arabia ada Udin
Bahkan di Australia ada Udin
Dan juga di India ada Udin
Di Indonesia ada Udin!
Wah bait-bait lagu Udin Sedunia ni mungkin perlu ditukar dah semenjak peristiwa PM kita ke Arab Saudi minggu lepas. Apa tidaknya, pandemik belum habis lagi tapi beliau sudah berjaya meyakinkan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji rakyat Malaysia. Banyak lagi berita baik yang telah dibawa Abah usai pulang ke Malaysia. Apa lagi? Meh baca sampai habis.
Pada 6 Mac 2021, Perdana Menteri telah selamat tiba di Jeddah dalam siri rangkaian lawatan rasmi selama 4 hari ke Arab Saudi atas jemputan dari kerajaan tersebut. Malaysia menjadi negara terawal yang dijemput kerajaan Saudi bagi sesi perbincangan yang secara tidak langsung menjalin semula hubungan akrab yang sedikit keruh sekitar tahun 2019 lepas. Apa jadi time tu? Malas lah nak cerita tapi sekadar bagi clue atau hint sahaja ya. Katanya ada kena mengena dengan batu karbala, eh betul ke?
Jadual PM semasa di sana agak padat, namun yang amat menyentuh hati tentulah dengan kebesaran hati tuan rumah untuk memberi jemputan dan keizinan khas bagi PM dan isteri untuk masuk ke dalam Kaabah. Bukan semua orang di dunia berpeluang untuk berbuat demikian, lagi-lagi pada musim Covid-19 ni! Untuk Malaysia dan pemimpinnya menjadi antara negara yang terawal dijemput secara rasmi adalah suatu yang power, dan sudah pasti usaha keras dari delegasi Malaysia ke Arab Saudi yang berjaya merapatkan jurang inilah yang telah memperlihatkan keistimewaan negara di mata kerajaan Arab Saudi sehingga kita diberi penghormatan sedemikian.
Hubungan mesra kita dengan Arab Saudi memang utuh sejak dari dulu lagi. Kalau ada jemaah dari Malaysia yang sedang melaksanakan umrah atau ibadah haji mesti akan dipuji “Malaysia?Good!” Dari pemimpin sehinggalah ke rakyat biasa, kedua-dua negara ini senantiasa saling menghormati dan bantu-membantu. Begitulah akrabnya Malaysia dan Arab Saudi walaupun kita bukanlah sebangsa maupun berjiran.
Bercakap tentang bangsa ni, sedar atau tidak, sebenarnya orang berbangsa Melayu kita khasnya di Malaysia ni memang hebat berdiplomasi. Bukan di zaman sekarang sahaja kita pandai berdiplomasi, tapi dari zaman Kesultanan Melayu Melaka nun dulu kita sudah pandai berbincang dan menjalin hubungan diplomatik antara negeri dan negara dunia. Orang Melayu kita ni hebat menyulam diplomasi dan itulah keistimewaan kita; sulaman demi sulaman diplomasi sehingga tertubuhlah Malaysia yang disenangi ramai di mata dunia.
Berbalik pada kisah kembara PM ke Arab Saudi ni, antara yang menjadi perbincangan dan seterusnya pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) sudah tentulah berkenaan ibadah umrah dan haji yang terpaksa ditangguhkan bermula tahun 2020 sejak Covid-19 mengganas. Alhamdulilah berkat kesantunan kerajaan Malaysia pimpinan Abah, Arab Saudi telah bersetuju untuk menambah kuota haji kita kepada 10,000 jemaah. Mengikut laman web Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600. Maknanya, insyaAllah selepas pandemik ini reda, negara kita bakal membawa 41,600 jemaah untuk menyempurnakan rukun Islam ke-5 itu. Negara kita menjadi negara pertama yang disenaraikan dalam inisiatif Perkhidmatan Laluan Makkah (Makkah Route) yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia. Ini termasuk urusan penerbangan, pemeriksaan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik yang lain.
“Jemaah Malaysia tidak perlu lagi menunggu berjam-jam lamanya semasa pemeriksaan imigresen di negara ini. Mereka boleh terus pergi ke bas-bas yang menunggu,” kata Muhyiddin pada sidang media mengakhiri lawatan di Arab Saudi.
Bukan itu sahaja ya Tuan-tuan dan Puan-puan, kedua-dua negara turut bersetuju untuk menubuhkan Pusat Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia untuk membuka jalan bagi perundingan dan tindakan lanjut secara berkala mengenai hal-hal kepentingan dan manfaat bersama termasuk ekonomi, pertahanan, pendidikan, jaminan makanan, perdagangan dan pelaburan. Terdapat juga kemungkinan Arab Saudi akan meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat.
Jadi di sini, kita dapat simpulkan bahawa tak rugi pun kalau kita berbaik dengan negara luar apatah lagi saudara seagama kan. Kehadiran Muhyiddin yakni namanya dalam Islam bermaksud yang menghidupkan agama serta kekuatan delegasi negara menyulam diplomasi sehingga mampu membawa pulang berita baik demi rakyat dan Malaysia seharusnya dipuji. Kalau taknak acknowledge dan ucap terima kasih pun tak apa, cukuplah sekadar bersyukur dengan adanya team kerajaan yang power inilah mak ayah, datuk nenek dan kita laki bini berpeluang untuk kerjakan haji insyaAllah dalam tahun yang akan datang ni.
**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update