M Update, 25/03/2021 – Berikutan pengumuman kerajaan Chile mengenai lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula hari ini akibat penularan COVID-19, Duta Malaysia ke Chile, Abu Bakar Mamat menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.
Beliau berkata kedutaan sering berhubung dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di ibu kota Santiago dan mereka rata-rata kini berada dalam keadaan baik, menjalani kehidupan harian dalam keadaan tenteram dan terkawal.
“Rakyat Malaysia di sini (Chile) lebih kurang 50 orang termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan kami. Yang berdaftar dengan kami hanya 31 orang. Kita nasihatkan supaya rakyat Malaysia di sini untuk patuh segala protokol kesihatan yang telah ditetapkan kerajaan.
“Untuk keluarga di Malaysia, tak perlu bimbang, keadaan kami di sini terkawal dan kehidupan tetap seperti biasa, cuma.. ada kawasan tertentu yang perlu kuarantin, kita masih boleh dihubungi. Keadaan di sini tenteram, suasana aman dan tiada masalah bagi kelengkapan barangan keperluan harian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Isnin lepas, kerajaan Chile mengumumkan lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula Khamis berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.Menteri Kesihatan Enrique Paris berkata 21 bandar di wilayah metropolitan Santiago, termasuk Maipu dan Puente Alto, yang paling banyak penduduk, akan diletakkan dalam kuarantin, serta 21 daerah lain di wilayah Coquimbo, Valparaiso dan O’Higgins, dan Maule, Nuble, Biobio dan Los Lagos. – BERNAMA