M Update, 08/04/2021 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat tarawih serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan minggu hadapan.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan di sini malam tadi, memaklumkan perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
“Bagi solat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan sama ada lapan atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih satu jam tidak termasuk solat Isyak.
“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat tarawih, manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan.
Beliau berkata bagi aktiviti tadarus al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak melebihi sejam dan qiamullail juga dibenarkan sepanjang Ramadan selama satu jam sebelum waktu imsak.
“Jamuan berbuka puasa dan bersahur tidak dibenarkan, namun masjid, surau dan musolla digalakkan untuk menyediakan menu berbuka dan bersahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah,” katanya sambil menambah syarat yang sama ditetapkan bagi jamuan moreh.
Iktikaf di masjid adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter. Bermula Ramadan ini, kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas dibenarkan mengikuti program yang diadakan di masjid, surau dan musolla,” katanya.
Justeru, beliau berkata, setiap prosedur operasi standard (SOP) berkenaan perlu dipatuhi semua pihak dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya gagal mematuhi ketetapan itu. – BERNAMA