Input your search keywords and press Enter.

Waspada Gerakan Guling Pemerintahan Beraja

Oleh: Mohd Fahmi bin Mohd Yusof

Gerakan ingin mewujudkan sebuah negara Republik atau bahasa mudahnya, antimonarki dan menggulingkan pemerintahan beraja sesuatu negara adalah bukan satu ideologi baharu di dunia ini, malah sudah bertapak lama sejak tahun 1900-an lagi.

Buktinya di Eropah, sejak tahun 1914 hingga 2015 sahaja, bilangan negara yang mengamalkan sistem monarki atau beraja menurun daripada 22 kepada 12 negara sahaja, manakala bilangan negara republik meningkat daripada empat kepada 34 negara.

Penggulingan monarki di Eropah bukan berlaku secara semula jadi atau ramai yang gemar menyebutnya sebagai ‘kebangkitan rakyat’, sebaliknya tidak dinafikan wujud gerakan ‘bawah tanah’ yang menyuntik semangat kumpulan ini untuk menyebar luas ideologi mereka.

Di rantau Asia dan Asia Tenggara, selain Malaysia secara umumnya masih banyak negara mengamalkan sistem pemerintahan beraja antaranya Bahrain, Jordan, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu, Bhutan, Brunei, Kemboja dan Thailand.

Namun, apa yang membimbangkan apabila negara jiran seperti Thailand yang sekian lama mengamalkan pemerintahan beraja, malah ada rakyat negara itu yang menganggap raja seperti ‘tuhan’ (mengagungkan pemerintah) pun sudah mengalami polemik dan krisis terhadap sistem beraja.

Gerakan pro-demokrasi pimpinan anak muda Thailand sejak tahun lalu dilihat sudah mengadakan demonstrasi jalanan di ibu kota negara itu, Bangkok malah turut disertai ribuan orang.

Ini adalah demonstrasi terbaru dan antara yang terbesar bagi mendesak Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, meletak jawatan dan menuntut reformasi monarki.

Tunjuk perasaan oleh golongan muda berlaku hampir setiap hari di Thailand sejak pertengahan Julai tahun lalu dikatakan bagi mendesak pengunduran Prayut, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014, serta rombakan menyeluruh pentadbirannya.

Malah, sesetengah kumpulan turut mendesak reformasi terhadap monarki yang sangat kaya lagi berkuasa, sesuatu yang jarang disentuh di Thailand berikutan undang-undang fitnah diraja yang tegas dan keterlaluan.

Ini satu contoh jelas gerakan anti monarki yang sudah mula bertapak dan membentuk persepsi dalam kalangan rakyat Thailand, terutama generasi muda yang lebih mudah ‘memberontak’ dan menyatakan rasa tidak bersetuju mereka secara terbuka.

Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan amat terdedah kepada risiko gerakan seperti ini yang boleh menyusup masuk ke dalam komuniti atau masyarakat di negara ini.

Contoh jelas dapat kita lihat baru-baru ini apabila seorang pengguna media sosial tanpa rasa hormat bertanyakan soalan kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dalam ruangan komen di Instagram milik Raja Permaisuri Agong.

Mustahil tindakan melontarkan komen sedemikian hanya sebagai soalan peribadi, sebaliknya ada bertujuan tertentu antara lain menimbulkan kemarahan dan kebencian terhadap Instituti Diraja.

Ditambah pula dengan kenyataan ahli politik yang cuba mengapi-apikan situasi berkenaan seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan “Orang Melayi Mula Marah kepada Istana”.

Adakah kenyataan ini mencerminkan majoriti atau keseluruhan masyarakat Melayu Islam di negara ini, atau ia hanya berbentuk provokasi dan bertujuan sebagai ‘mileage’ politik untuk sesuatu kumpulan?

Apakah pula kesannya tatkala negara sedang dilanda polemik politik yang tidak berkesudahan, ditambah pula dengan desakan atau provokasi berterusan menanam kemarahan terhadap Institusi Beraja di negara ini?

Kita perlu melihat aspek-aspek ini secara menyeluruh dan tindakan awal wajar diambil bagi membendung perkara ini semakin membarah dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, janganlah akhirnya Malaysia ‘menang sorak, kampung tergadai’.

Tamat

Penulis adalah penuntut semester akhir Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf

Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update