M Update, 10/05/2021 – “Kami berharap Malaysia belajar dan mengambil pengajaran apa yang berlaku di India. Kita jangan terleka dan pasti boleh menang.”
Demikian pesanan penuntut Malaysia di India, Amirul Asyraf Rusli, 24, mengenai situasi Covid-19 di negara itu, ketika ini.
Amirul yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, kebanyakan penuntut Malaysia berada di zon selatan manakala wilayah paling teruk terjejas di utara Delhi dan barat di Maharashtra.
“Keadaan di kawasan saya terkawal walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, tetapi masih dalam kawalan dan sistem kesihatan di sini boleh berfungsi secara optimum.
“Seramai lebih 300 penuntut Malaysia berada di Belgaum (Karnataka) dan ada beberapa penuntut berada di Bangalore dan Alhamdulillah, kami semua berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Penuntut tahun akhir perubatan di Universiti Sains Malaysia – Karnataka Lingayat Education International Medical Programme itu berkata, bagaimanapun kemungkinan mereka akan berdepan dengan ‘total lockdown’ dalam waktu terdekat bagi mengelak kes melonjak.
Ditanya adakah mereka risau boleh dijangkiti pandemik itu berikutan situasi meruncing di India, Amirul Asyraf berkata, mereka sudah diajar cara menangani dan kekal kuat untuk menghadapi Covid-19.
“Bagi saya, risau tetap risau tetapi sebagai bakal doktor, kami diajar untuk terus kuat dalam menghadapi situasi bencana seperti ini. Kami sudah menerima dua dos vaksin AstraZeneca dan memang menjaga menjaga SOP (prosedur operasi standard) dengan sangat baik.
“Walaupun kami sentiasa berulang alik ke hospital setiap hari, Alhamdulillah tiada penuntut terkesan dengan jangkitan Covid-19. Ini kerana kami sangat menjaga SOP dan vaksin sangat berkesan untuk mengawal pandemik ini,” katanya yang mengambil suntikan lengkap vaksin pada 12 Februari lalu.
Menurutnya, sebenarnya keadaan Covid-19 di India sudah mendatar beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, kerana politik dan pelbagai acara, perhimpunan dan perayaan diadakan menyebabkan kes melonjak dengan tinggi.
“Ketika itu pemimpin dan rakyat India sangat yakin sudah menang dalam peperangan dengan Covid-19. Bagaimanapun, kadar pematuhan SOP di negara itu sangat rendah dan sikap tidak ambil peduli mereka menyebabkan kes Covid-19 tiba-tiba melonjak naik kerana mereka sangat yakin sudah menang. Ketika itu, tiada lagi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan perhimpunan secara beramai-ramai turut diadakan. Saya berharap Malaysia dapat belajar daripada India,” katanya yang sudah berada di negara itu sejak 2016.
Menurutnya, pengajaran boleh dikongsi untuk rakyat Malaysia adalah Covid-19 perlu ditangani golongan profesional. Katanya, biarkan golongan profesional perubatan mengambil alih krisis Covid-19 ini kerana mereka lebih arif.
Perkara ini perlu diambil dengan serius, jika tidak mulalah macam-macam jenis SOP akan keluar. Di India, semua mengenai SOP Covid-19 akan dipolitikkan dan arahan doktor tidak diendah. Akhirnya, sistem kesihatan di kawasan terjejas hampir lumpuh terutama di New Delhi. – HM Online