M Update, 06/10/2021 – Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada warganegara berusia 18 tahun ke atas yang akan terkecuali daripada didaftarkan sebagai pengundi susulan perlaksanaan pendaftaran undi automatik dan Undi18 pada 31 Disember ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, perkara itu sebagaimana yang telah termaktub dalam peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Pendaftaran pengundi automatik yang akan dilaksanakan pada 31 Disember 2021 berdasarkan keputusan mahkamah Kuching.
“Berdasarkan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited untuk laksanakan pendaftaran pengundian secara automatik dan Undi18. Sebab itu segala maklumat atau warganegara pasti akan turut didaftarkan sebagai pengundi. Kalau ikut apa yang termaktub dalam undang-undang, tidak akan ada yang terkecuali,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang bertanya adakah pendaftaran automatik akan melibatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara dan penduduk Sabah Sarawak yang berada di Semenanjung serta mekanisme perlaksanaannya.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal, Mas Ermieyati berkata, pengundi-pengundi di Sabah dan Sarawak yang bermastautin di Semenanjung digalakkan untuk memohon pertukaran Bahagian Pilihan Raya berdasarkan tempat bermastautin terkini.
Menurutnya, tindakan itu bagi memudahkan urusan pengundian bagi suatu pilihan raya umum atau kecil sekiranya tidak termasuk dalam golongan yang mendapat kemudahan mengundi secara pos.
“Buat masa ini, kemudahan mengundi secara pos diberikan kepada pengundi terdiri daripada ahli SPR dan kakitangan SPR; petugas pilihan raya; tentera, polis, dan Polis Pasukan Gerak Am (PGA) yang bertugas pada hari mengundi awal.
“Turut dibenarkan kepada pengamal media yang bertugas membuat liputan pilihan raya di luar kawasan pada hari mengundi; kakitangan bagi sembilan agensi (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara-UTC, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang bertugas pada hari mengundi.
“Selain itu, ia turut termasuk pengundi Malaysia yang berada di luar negara (kecuali Brunei, Singapura, Kalimantan dan Selatan Thai); dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara iaitu penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangan serta pelajar universiti/institusi tinggi sepenuh masa di luar negara dan pasangan,” katanya.
Maria bertanya mengenai tindakan-tindakan yang diambil untuk membolehkan para pengundi yang berada di luar negara dan juga warga Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia untuk mengundi. – SH Online