M Update, 20/10/2021 – Usahawan dan peniaga yang enggan divaksin tanpa alasan munasabah atau diberikan pengecualian atas sebab kesihatan, hanya menyusahkan diri serta perniagaan mereka sendiri.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar, berkata ini kerana vaksinasi lengkap COVID-19 sudah menjadi syarat pergerakan di negara ini serta dalam sebahagian besar sektor.
Ditanya jumlah peniaga di bawah bantuan MEDAC yang telah menerima pelalian itu setakat ini, Noh berkata, ketika ini tiada statistik mengenai golongan itu.
“Apa yang boleh saya katakan, golongan peniaga yang tidak lengkap dua dos vaksin menyusahkan diri mereka. Golongan ini sudah pasti sukar untuk masuk ke premis yang mensyaratkan dua dos vaksin dan ini menyusahkan diri mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MEDAC tidak bercadang mewajibkan semua usahawan di bawah bantuannya mengambil vaksin COVID-19. Sekiranya mahu berniaga, mereka harus membuktikan telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – BH Online