M Update, 20/01/2022 – Pengguna lebuh raya perlu diberi diberi pilihan sama ada menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio, Touch N Go (TnG), atau smart tag untuk pembayaran tol.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu. Menurutnya, pilihan sama turut telah diberikan kepada pengguna sewaktu peralihan pembayaran tunai kepada TnG dan smart tag.
Sekarang kita mahu memperkenalkan RFID untuk percepatkan laluan, tiada gate dan sebagainya. Cadangan itu bagus tetapi dari segi pengguna, mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID, TnG atau smart tag. Lorong tol juga perlu mengekalkan pembayaran TnG dan smartTAG sebagai kebebasan memilih kepada pengguna.
“Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong untuk RFID dan bakinya masih lagi untuk TnG dan smartTAG. Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Ditanya adakah pemegang konsesi lebuhraya sudah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kerja Raya akan memanggil syarikat terbabit untuk berbincang.
“Kalau ada keputusan melibatkan bayaran, rujuk kepada kabinet,” katanya.
RFID mula dilaksana secara berperingkat di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari. Bagaimanapun, pada Isnin lalu, pengguna lebuh raya terpaksa menghadapi kesesakan teruk sehingga 10 kilometer di Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Bandar Seri Putra kerana kegagalan sistem RFID. – SH Online