M Update, 17/02/2022 – Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) antara Malaysia-Singapura bagi laluan udara dan darat kini dibuka semula sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia membabitkan 100 peratus kapasiti bas dan penerbangan, dan berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa dan persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Penjualan VTL bagi perjalanan udara berkuat kuasa untuk perjalanan serta-merta manakala bagi perjalanan darat ialah pada 22 Februari ini biarpun penjualan tiket berkuat kuasa serta-merta. Inisiatif VTL ini berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan seterusnya membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.
Kedua-dua negara juga sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan VTL Laluan Udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi kerana pada ketika ini VTL udara dari negara ini hanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kementerian Pengangkutan itu melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menyediakan fasiliti ujian saringan COVID-19 dan kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang berkaitan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu kelak. Kerajaan berharap inisiatif berkenaan dapat memanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan terus memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.
Semua pihak diingatkan supaya tidak alpa dan leka dalam mematuhi segala peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan diri serta insan tersayang di sekeliling.