M Update, 17/03/2022 – Warga emas yang tiada vaksinasi atau belum mendapatkan dos penggalak didapati berisiko tinggi untuk meninggal dunia selepas dijangkiti COVID-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata data menunjukkan iaitu individu berusia 60 tahun ke atas yang tidak mendapatkan pelalian atau mengambil dos penggalak adalah kumpulan paling tinggi meninggal dunia selepas dijangkiti virus berkenaan.
“Semalam 105 kematian COVID-19 dilapor. Kapasiti hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) terkawal, tetapi saya juga mahu kadar kematian terkawal.
Pada Ahad lalu, data oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan pada 2021, sejumlah 11,075 kematian membabitkan warga emas akibat COVID-19 direkodkan dalam kalangan mereka yang belum divaksinasi, berbanding 3,568 yang sudah mendapatkan vaksinasi, manakala hanya 13 kematian direkodkan dalam kalangan mereka yang sudah mendapatkan dos penggalak.
Khairy menambah, pemberian dos penggalak kepada warga emas sangat penting terutamanya menjelang Ramadan kerana banyak aktiviti secara berkumpul akan diadakan.
“Mungkin orang tua kita tidak ke mana-mana sekarang tetapi tiba Ramadhan mereka akan beramai-ramai pergi solat tarawih. Elok ‘tambah’ perlindungan mereka dengan dos penggalak. Kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah,” katanya.
Semalam, negara merekodkan kematian tiga angka iaitu sejumlah 105 kes dilaporkan, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka korban disebabkan COVID-19 di negara ini meningkat kepada 34,099 kes.