M Update, 18/04/2022 – Tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskah al-Quran, Khamis lalu disifatkan perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata mereka yang bukan beragama lain patut menghormati Islam.
“Perbuatan membakar al-Quran tidak sepatutnya berlaku. Pada kita yang beragama Islam pun, bukan setakat nak bakar kitab agama lain, malah tidak boleh menghina agama mereka. Mereka yang beragama lain juga patut menghormati Islam. Jangan tiupkan sifat provokasi kerana kita sebagai orang Islam pun ada sensitiviti dalam hal sebegini.
“Ada benda orang Islam tidak sensitif namun bab agama kita sangat sensitif dan perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pemimpin parti politik di Sweden yang membakar al-Quran.
Media semalam melaporkan, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskhah al-Quran, Khamis lalu. Menurut kenyataan Wisma Putra, perbuatan keji sedemikian sudah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama. – BH