M Update, 0706/2022 – Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) perlu elakkan makan atau minum minuman panas bagi membantu merawat ulser yang terdapat dalam mulut pesakit terbabit.
Pengasas Docmove Dr Hanafi Yahya, 38, berkata, sebaik-baiknya kanak-kanak yang mempunyai ulser di dalam mulut kerana HFMD diberikan makanan dan minuman yang sejuk.
Menurutnya, makanan atau minuman sejuk dapat membantu merawat ulser di dalam mulut kanak-kanak berkenaan.
“Selain gejala atau simptom seperti demam, terdapat juga ruam berisi air (vesicle) pada tangan, kaki, mulut dan lidah sekali gus menyebabkan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD menjadi kurang selera makan kerana ulser di dalam mulut.
“Jika ada keperluan, doktor akan memberi ubat anti viral kepada pesakit dan jika pesakit kekeringan air (dehyration) di dalam badan maka pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk masukkan air dalam badan (re-hydration),” katanya selepas merawat ‘Budak Kangkung’, Muhammad Afiq Aryan Rosman, 7, yang disahkan dijangkiti HFMD di Poliklinik Dr Hanafi dekat sini, hari ini.
Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang yang gigih menanam kangkung sejak dua tahun lalu dan tular selepas kesemua hasil tanaman disedekahkan kepada orang ramai dijangkiti HFMD selepas adiknya Aileen Nathania, 5, terkena jangkitan HFMD baru-baru ini.
Dr Hanafi berkata, ibu bapa atau penjaga perlu peka dengan keadaan semasa anak-anak dan perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin jika kanak-kanak berkenaan mempunyai tanda atau simptom HFMD.
Menurutnya, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari dan jangan sesekali dibawa ke tempat tumpuan orang ramai bagi mengelakkan atau mencegah penularan penyakit terbabit.
“Segelintir ibu bapa atau penjaga yang pentingkan diri tanpa memikirkan orang lain dengan membawa anak-anak yang dijangkiti HFMD ke tempat tumpuan orang awam memang dikesali.
” Ibu bapa atau penjaga juga perlu mainkan peranan bagi mengelak anak-anak dijangkiti HFMD terutama ketika pulang ke rumah dinasihatkan bersihkan diri dan tukar baju terlebih dahulu kerana orang dewasa berisiko menjadi pembawa virus dan menyebarkan kepada anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Afiq Aryan pula berkata, cuti persekolahan kali ini akan dihabiskan di rumah sahaja dengan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Sebelum ini pernah dua kali dikuarantin kerana Covid-19 kerana menjadi kontak rapat dan kali kedua selepas disahkan positif virus itu, kali ini sekali lagi kena kuarantin pula disebabkan HFMD.
“Cuti sekolah kali ini akan dihabiskan dengan menanam sayur di belakang rumah sahaja dan hendak keluar tidak boleh takut orang lain pula dijangkiti,” katanya.
Dia berkata, HFMD menyebabkannya sukar untuk minum dan makan seperti biasa dan menasihatkan kanak-kanak yang lain agar jangan pergi ke tempat tumpuan orang ramai, selain menjaga kebersihan diri. – BH