Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Pejabat Kerajaan Beroperasi Sepenuhnya

M Update, 12/01/2021 – Pejabat kerajaan diarahkan beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran pegawai seperti yang ditetap berdasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di setiap negeri, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berterusan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata kehadiran pekerja dalam perkhidmatan perlu bagi enam negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah yang dikenakan PKP mulai esok hingga 26 Januari, ialah 100 peratus.

“Bagi perkhidmatan lain pula, kehadiran pekerja maksimum ialah 30 peratus.

“Arahan sama turut dilaksanakan kepada pegawai di negeri yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB), iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata, bagi negeri dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) meliputi Perlis dan Sarawak pula, kehadiran pekerja ialah secara optimum.

Bagi yang tidak berkenaan, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Lima Tahun 2020: Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), lain-lain pegawai diarahkan BDR.

“Bagi memastikan perkhidmatan asas agensi tidak terjejas, berterusan dan dapat dicapai oleh pelanggan berdasarkan piagam pelanggan kementerian, jabatan serta agensi masing-masing, ketua jabatan hendaklah menentukan kehadiran pegawai seperti yang ditetapkan.

“Pelaksanaan BDR hendaklah mengikut peraturan dan garis panduan yang telah diperuntukkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Lima Tahun 2020.

“Arahan ini juga terpakai bagi mana-mana negeri atau kawasan mengikut jenis perintah yang diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Khairul Adib berkata, arahan itu turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, untuk tempoh 14 hari bermula esok hingga 26 Januari.

Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKPB, manakala Perlis serta Sarawak pula PKPP, untuk tempoh sama.