M Update, 13/10/2022 – Pentas akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur (KL) City dan kelab Oman, Al Seeb yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini akan beralih ke Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sebelum ini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjelaskan perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan venue berkenaan juga sudah diletakkan dalam jadual di laman web rasmi badan induk itu.
Namun, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak menjelaskan venue berkenaan terpaksa ditukarkan ke Stadium Nasional susulan isu teknikal.
“Ya (final di Bukit Jalil) kerana mereka perlu menggunakan VAR dan mereka juga perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan (lampu limpah), ia berkaitan isu teknikal.
“Semua pemain dan barisan jurulatih mahu bermain di Cheras, kerana kami sudah biasa bermain di sana. Tapi disebabkan isu teknikal, kami terpaksa bermain di Bukit Jalil,” katanya.
Sumber: Berita Harian