M Update, 17/04/2023 – Sebelum ini, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.
Walau bagaimanapun, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata umat Islam di negara ini dinasihati supaya tidak terpengaruh dengan berita penetapan Aidilfitri di negara lain, yang mendakwa 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat, 21 April ini. Ini kerana sudah tentu ukuran anak bulannya berbeza-beza, umur bulan juga berbeza.
Oleh itu, rakyat Malaysia diminta untuk menunggu pengisytiharan Majlis Raja-Raja pada malam 20 April dan bersatu hati meraikan 1 Syawal seperti diumumkan nanti. Cerapan anak bulan di negara ini akan dijalankan di 29 lokasi di seluruh negara, pada Khamis, 20 April ini.
Kita ikut sahaja nanti apa yang ditetapkan nanti. Jangan panik kerana raya terkejut atau tidak, yang penting adalah kita mematuhi rukun dengan bertakbir dan melakukan solat sunat Aidilfitri. Kita tumpu hari raya sebagai ibadah katanya.
Umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada memburu malam lailatulqadar daripada menyibukkan diri dengan meneka tarikh Aidilfitri sama ada jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu.