M Update, 20/02/2024 – Menerusi program kemahiran di Laman Wanita (LaWa), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam ekonomi serta tenaga buruh – Datuk Seri Nancy Shukri.
Usaha itu dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan. Ini selaras dengan inspirasi Ekonomi Madani untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60%.
LaWa kini menjadi pusat aktiviti setempat, yang menawarkan pelbagai program dan aktiviti pemerkasaan wanita melalui aspek peningkatan kemahiran asas, selain mewujudkan jaringan sosial serta pusat maklumat asas berhubung pelbagai isu wanita.
Untuk penegtahuan, semua program dan aktiviti LaWa menyokong aspirasi pemerkasaan wanita merangkumi aspek ekonomi, kesejahteraan, keselamatan serta kepimpinan diberikan perhatian khusus kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
LaWa turut melaksanakan program dan aktiviti melalui kolaborasi strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Secara keseluruhannya, pada masa ini Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai 14 LaWa di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.