M Update, 15/03/2024 – Dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara yang akan dilancarkan Jun ini, mempunyai matlamat penting bagi menyediakan tenaga kerja berketerampilan untuk keperluan pasaran tenaga negara dalam bidang teknologi baharu.
Dasar itu memperlihatkan pelan hala tuju hingga 2050, sebagai dasar yang komprehensif kerana bukan hanya menyelaras 1,345 institusi TVET, tetapi juga membabitkan penyediaan dan pengukuhan kursus berasaskan teknologi tinggi bagi tujuan berkenaan.
Kita mesti keluar daripada kepompong hanya menyediakan tenaga mahir dalam bidang (seperti) jahitan atau pendandanan rambut. Kursus itu boleh diteruskan tetapi pasaran tenaga kerja memerlukan tenaga mahir dalam (bidang seperti) teknologi kecerdasan buatan (AI), tenaga solar, kenderaan elektrik, komunikasi dan hidrogen – DS Anmad Zahid Hamidi
Diharapkan dasar ini dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat khususnya ibu bapa yang melihat TVET sebagai pilihan kedua, sedangkan potensi bidang berkenaan sangat besar termasuk kebolehpasaran siswazah bidang itu kini pada tahap yang sangat tinggi.
Lulusan TVET seharusnya mempunyai gaji premium berdasarkan kategori latihan diberikan berbanding gaji minimum RM1,500 pada masa ini, dengan faktor gaji tinggi itu dilihat dapat menggalakkan ibu bapa menyokong minat anak dalam bidang TVET.