M Update, 23/04/2024 – Pada Sidang Kemuncak KL20 semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pendekatan menyeluruh dan sokongan penuh Kerajaan, yang akhirnya bakal membuka satu dimensi baharu untuk pembiayaan modal, rangkaian perhubungan dan kreativiti bagi ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan rakan-rakan kerjasama mereka mengumumkan pelaburan sehingga RM3 bilion bagi menambah baik ekosistem untuk syarikat pemula di Asia Tenggara dan Malaysia, di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.
12 syarikat dana modal teroka global yang berprestij telah menandatangani Surat Hasrat untuk membuka operasi di Malaysia. Ini merupakan perkembangan penting bagi Malaysia, kerana akses kepada modal adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh mana-mana syarikat pemula. Kini, syarikat pemula bukan sahaja memperoleh sokongan Kerajaan tetapi juga akses kepada modal teroka swasta terbaik, yang benar-benar boleh membantu menjayakan idea mereka.
Di samping itu, pelbagai insentif untuk pelabur teknologi dan digital global telah diumumkan seperti memudahcara kelulusan visa; latihan kemahiran, dan peningkatan kemahiran untuk mengambil pekerja tempatan serta pelbagai insentif lain yang ditawarkan.
Firma-firma teknologi global juga telah mengumumkan pelaburan selanjutnya dalam mewujudkan fasiliti baharu, kemudahan R&D dan ibu pejabat serantau. Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan taman reka bentuk litar bersepadu terbesar di Asia Tenggara. Malah, pembinaannya telah pun bermula.
Ini hanyalah permulaan bagi usaha yang pelbagai, yang mendalam dan yang holistik oleh Kerajaan MADANI untuk membuka kunci kepada kuasa dan potensi ekonomi bagi syarikat pemula Malaysia serta global untuk mencari lokasi terbaik untuk mencipta, berinovasi dan mengecapi kejayaan.