M Update, 25/04/2024 – Misi pelayaran bantuan kemanusiaan ke Gaza merupakan satu cabaran yang amat besar dan delegasi Malaysia yang terlibat diingatkan supaya menjangkakan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi.
Diharapkan misi bantuan ini selamat dengan mengambil sikap berhati-hati walaupun kru dari Malaysia yang terlibat pernah mengikuti misi tersebut beberapa kali dan mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi sukar.
Kerajaan amat sukacita dan amat berbangga atas sifat keberanian rakyat Malaysia yang begitu bersungguh-sungguh hendak melihat agar penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin, khususnya di Gaza dapat dibantu melalui bantuan makanan – Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.
Misi kita akan belayar dengan kapal flotila dan ini merupakan satu cabaran yang amat besar kerana kita tidak tahu apa sikap yang akan diambil oleh tentera rejim Zionis apabila mereka (misi bantuan) masuk ke perairan Gaza.
Misi pelayaran “Break The Siege: Freedom Flotilla Mission To Gaza 2024” dijangka memulakan pelayaran pada Jumaat 26 April 2024.
18 warga Malaysia ketika ini yang terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media akan menyertai masyarakat awam antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan menaiki flotila berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.