M Update, 07/05/2024 – Seorang bapa dihukum penjara 20 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan merogol anak kandungnya sejak berusia 12 tahun sehingga melahirkan dua anak.
Tertuduh berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lima sebatan selepas membuat pengakuan bersalah. Menurut hakim, hukuman yang dijatuhkan perlu setimpal kesalahan dilakukan, selain untuk pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Hakim juga menegaskan bahawa tertuduh adalah seorang bapa diamanahkan menjaga anak tetapi telah melakukan perbuatan yang sebaliknya.
“Saya mengambil maklum faktor mangsa hanya membuat aduan selepas ibu bapanya ditahan atas kes lain. Semestinya mangsa berasa tidak selamat berada di rumah sendiri sepanjang tempoh terbabit.
“Saya percaya ia akan menyebabkan trauma serta meninggalkan kesan psikologi yang teruk kepada mangsa, dan semestinya reputasi mangsa juga akan terjejas dengan perbuatan tertuduh,” katanya. – Hakim
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 1 Mei lalu mendakwa bahawa dirinya dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun hingga 21 April 2024.
Mangsa dilaporkan mengesyaki dirinya mengandung pada Disember 2022 selepas tidak datang haid, sebelum melahirkan anak di Hospital Port Dickson pada 17 Ogos 2023. Ibu mangsa didakwa menyerahkan anak dilahirkan mangsa itu kepada orang lain tanpa pengetahuannya.
Tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam merayu supaya hukumannya diringankan atas alasan mempunyai anak-anak yang masih kecil, manakala isteri menghidap kencing manis dan penyakit jantung. Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.