M Update, 29/05/2024 – “Saya serah geran yang sudah ditukarkan nama kepada Mohd Azlan serta cukai kereta Proton Persona ini dan buku solat sebagai hadiah perkahwinan mereka menurut pemilik kedai kereta terpakai.
“Macam saya katakan sebelum ini, kalau dah bagi takkan nak ambil balik pula hadiah kereta ini sebab semuanya untuk kemudahan anak mereka yang menghidap paru-paru kronik,” kata Firdaus Sharifuddin.
Firdaus, 37, adalah pemilik kedai kereta terpakai Haji Din Auto dekat Jalan Langgar di sini, hadir pada majlis pernikahan pasangan tular, Mohd Azlan Ishak, 36, dan isterinya, Norhidayu Halim, 35, di Masjid Al Maarufi, Seberang Kota, semalam.
Katanya, beliau turut membaca semua komen-komen netizen di laman sosial berkaitan kisah pasangan itu dan berharap semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan mereka.
Katanya, kisah silam pasangan itu sudah boleh diperbetulkan balik dan berharap mereka dipanjangkan umur dan sentiasa sihat untuk menjaga anak mereka, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang menghidap paru-paru kronik.
“Kereta Proton Persona ini pun untuk kegunaan mereka berulang alik membawa Mohd Aariz ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan untuk mereka bergerak ke sana ke mari dengan mudah la,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azlan bersyukur dengan penerimaan orang ramai terhadapnya termasuk kawan-kawan dan keluarga walaupun apa yang berlaku. Katanya, dia rasa bagaikan mimpi kerana tidak putus dikunjungi orang ramai meskipun banyak tanggapan negatif dilontarkan padanya.
“Syukur Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan saya akan menjaga Norhidayu dengan baik serta anak kami, Mohd Aariz Zafran selain empat anak hasil perkahwinan Norhidayu terdahulu,” katanya.
Sementara itu, ibu mentuanya, Che Ma Sebawai, 59, berkata anaknya, Norhidayu sebelum ini hidup dalam keadaan tertekan selepas kisah buruknya ditular di laman sosial sehinggakan sukar untuk lelapkan mata dan makan.
Katanya, sebagai ibu dia memujuk anaknya supaya bersabar dan tidak mengambil kisah apa dicakapkan orang ramai terhadapnya sebelum ini.
“Saya bersyukur apabila akhirnya mereka disatukan kerana sebelum ini saya pun tertekan kerana apabila keluar rumah, ada yang sanggup ambil gambar saya curi-curi dan tidak tahu apa tujuan mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan yang ditular yang membawa bayi lelaki berusia 11 bulan menaiki motosikal sambil memakai alat pernafasan selamat dinikahkan, semalam.
Kepayahan hidup mereka membawa anak menghidap paru-paru kronik itu turut mendapat simpati daripada netizen hingga menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.