Input your search keywords and press Enter.

Ramlan Harun Dilantik Pengerusi SPR Baharu

M Update, 26/06/2024 – Datuk Seri Ramlan Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu, berkuat kuasa hari ini.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, pelantikan Ramlan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ramlan Harun sebagai Pengerusi SPR.

“Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 26 Jun 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramlan yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah daripada Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Perumahan dan Bangunan daripada Universiti Sains Malaysia.

Beliau juga memiliki Diploma Pentadbiran Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pelantikan Ramlan sebagai Pengerusi SPR baharu adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas empat tahun mengetuai badan suruhanjaya berkenaan.