M Update, 16/07/2024 – Polis mengesahkan penjawat awam yang ditahan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, adalah anggota polis.
Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Datuk Hussein yang memaklumkan suspek adalah anggota polis yang bertugas di Perak. Beliau juga sudah berkhidmat selama lima tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat Lans Koperal di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim.
“Saya sahkan subjek yang melakukan kes ini adalah seorang anggota dari Balai Polis Slim River dan beliau (subjek) sudah menunjukkan tempat lokasi kejadian (penemuan mayat)”.
Siasatan awal pihaknya juga mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi kejadian utama.
Mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai itu juga katanya sudah mereput.
Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Untuk rekod, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.