Input your search keywords and press Enter.

Perkara Yang Mencemari Kesucian As-Sunnah, Para Nabi dan Rasul.

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian As-Sunnah adalah mempertikai kedudukan hadis-hadis yang sepakat diterima oleh imam-imam hadis ASWJ iaitu Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam At-Tirmidzi, Imam Ibnu Majah, Imam AnNasa’i dan lain-lain terutamanya hadis-hadis mutawatir dan sahih. Selain itu, pendirian menolak As-Sunnah atau Al-Hadis secara umum sebagai sumber perundangan hukum Islam merupakan ajaran yang menyeleweng dan sesat. Contohnya, ajaran anti hadis seperti yang dibawa oleh Jemaah Al-Qur’an Malaysia (JAM) yang menolak kedudukan hadis sebagai sumber perundangan hukum.

Selain itu, antara bentuk pencemaran terhadap kesucian para nabi dan rasul adalah dakwaan adanya nabi atau rasul baharu selepas Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana yang telah dinyatakan, kebanyakan ajaran sesat dan menyeleweng daripada Islam yang muncul pada awal Islam iaitu selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW ialah dengan dakwaan wujudnya nabi atau rasul baharu. Ini kerana dakwaan sebagai nabi atau rasul dilihat sebagai kaedah baharu dalam mendapatkan pengikut dan kedudukan. Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW merupakan nabi dan rasul terakhir dan tiada lagi nabi atau rasul yang akan diutus selepas itu.

Firman Allah SWT Maksudnya: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-Nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Ahzaab; 33 : 40)

Jelas melalui ayat tersebut bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penutup kepada nabi dan rasul yang diutus. Rasulullah SAW turut menyatakan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Muhammad Bin Jubair Bin Mut’im daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mempunyai nama-nama. Aku ialah Muhammad, aku ialah Ahmad, aku ialah ‘Al-Mahi’ (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan dengan aku akan kekufuran, aku ialah ‘Al-Hasyir’ (penghimpun) yang mana manusia dikumpulkan di atas kakiku (ikutanku sebagai pembawa risalah) dan aku ‘Al-’Aqib’ (pengakhir) yang mana tiada selepasnya seorang Nabi.”

Melalui kedua-dua dalil yang dibawakan dan banyak lagi dalil-dalil lain, jelas menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan nabi dan rasul terakhir. Justeru, nyatalah bahawa dakwaan-dakwaan sebagai nabi atau rasul selepas daripada Baginda SAW adalah dakwaan palsu yang sesat lagi menyesatkan.

Sumber – Majlis Agama Islam Selangor

Leave a Reply