Input your search keywords and press Enter.

MDA Luluskan Kit Ujian Mpox Pertama Di Pasaran Malaysia

Foto Hiasan

M Update, 30/08/2024 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah meluluskan satu kit ujian virus cacar monyet (mpox) yang pertama untuk pasaran Malaysia bagi membantu pengesanan virus itu secara berkesan.

Ketua Eksekutif MDA Dr Muralitharan Paramasua berkata kit dikenali ‘Viasure Monkeypox Virus Real Time PCR Detection’ itu hanya boleh dikendalikan golongan profesional seperti pengamal perubatan berlesen dan tidak boleh dikendalikan orang awam. 

Beliau berkata sebarang penjualan dan pembelian di farmasi, kedai runcit mahupun di platform e-dagang juga tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

“Sekiranya kit ujian mpox ini tidak dikendalikan golongan profesional, terdapat kemungkinan keputusan ujian yang diperoleh tidak tepat dan boleh menyebabkan penularan virus dalam kalangan orang awam. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli serta menggunakan sendiri kit ujian mpox,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Muralitharan memaklumkan jika mana-mana individu yang mendapati penjualan kit itu kepada orang awam di farmasi, kedai runcit atau platform e-dagang, mereka diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa melalui Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (MDAFEMES) di femes.mda.gov.my.