Input your search keywords and press Enter.

Khidmat Kontraktor Pengusaha Dewan Makan MRSM Taiping Ditamatkan

M Update, 13/09/2024 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah menamatkan kontrak pengusaha dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, selepas mereka gagal menjawab notis remedi yang dikeluarkan MARA sehingga tamat tempoh pada jam 5 petang semalam.

Berikutan itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya akan mengemukakan saman dan menuntut ganti rugi di mahkamah terhadap kontraktor itu yang melanggar kontrak dalam penyediaan makanan kepada pelajar.

Notis remedi dikeluarkan kepada kontraktor pada 4 September lalu, selepas kes keracunan makanan berlaku secara berulang di dewan selera MRSM Taiping, disusuli dengan tinjauan mengejut dilakukannya sendiri yang mendapati keadaannya terlalu kotor, selain kontraktor gagal mematuhi menu yang perlu disediakan kepada pelajar.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap kontraktor terbabit sebagai pengajaran kerana MARA tidak akan berkompromi terhadap isu kebajikan, keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Ini kes pertama yang akan dibawa ke mahkamah sejak saya menjadi Pengerusi MARA lebih setahun lalu. Saya ingin memberikan isyarat keras dan amaran tegas kepada mana-mana kontraktor dewan selera MRSM yang mahu kaut keuntungan besar hingga menjejaskan kesihatan, mengundang risiko nyawa dan mengabaikan kebajikan pelajar untuk patuhi kontrak serta utamakan nilai kemanusiaan dan keberkatan,” katanya kepada BH, ketika dihubungi di Shanghai, China.

Insiden keracunan berkenaan dilaporkan berulang walaupun dewan selera itu pernah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan makanan membabitkan 62 pelajar pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Mengenai penyediaan makanan di dewan selera MRSM Taiping ketika ini selepas khidmat kontraktor itu ditamatkan, beliau berkata, pihaknya menggunakan khidmat pengusaha katering tempatan untuk sementara waktu sehingga kontraktor baharu dilantik Jawatankuasa Perolehan.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, beliau juga mengarahkan semua MRSM terutama pengetua dan warden atau penyelia asrama melipatgandakan pemantauan terhadap kualiti makanan supaya memenuhi spesifikasi termasuk menu ditetapkan, kebersihan dapur dewan selera dan perkhidmatan kontraktor.

Beliau berkata, perkara itu perlu dilaporkan terus kepada ibu pejabat MARA untuk tindakan susulan.