M Update, 25/09/2024 – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober 2024.
Akta ini merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
Menurut KKM menerusi media sosial, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan TERMASUK rokok elektronik.
Akta 852 diwartakan pada Februari lalu sehingga kini masih belum dikuatkuasakan walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah KKM mewartakan Akta 852 bermula 2 Februari lalu adalah dalam usaha untuk mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.
Dr Dzulkefly berkata, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas.
Kementerian sebelum ini dikritik kerana tanpa penguatkuasaan Akta 852, peraturan untuk mengharamkan penjualan vape kepada kanak-kanak tidak dapat dikuatkuasakan.
Ini berlaku selepas perintah untuk mengeluarkan nikotin yang digunakan dalam vape dan rokok elektronik daripada senarai bahan terhad di bawah Akta Racun.